Monday, September 22, 2014

Pengertian Sejarah

Pendahuluan

            Bidang sejarah merupakan satu bidang yang penting kerana kita dapat mengetahui dan memahami peristiwa sejarah yang pernah berlaku pada masa lampau. Oleh itu, ahli-ahli sejarah perlulah menjalankan kajian dan tafsiran untuk mendapatkan fakta yang benar dan kukuh. Pada hakikatnya, sejarah dicipta oleh manusia dan sejarah telah dijadikan sebagai panduan dan teladan dalam kehidupan mannusia. Walau bagaimanapun, penyelidikan harus dilaksanakan oleh ahli sejarah berdasarkan bukti yang kukuh dan tepat supaya dapat mencatatkan peristiwa dan kejadian sejarah yang benar-benar berlaku pada zaman silam. Persoalannya, apakah pengertian dan konsep sumber, sumber sejarah dan ciri-ciri sumber sejarah?


Pengertian Sumber

            Sumber memainkan peranan yang signifikan dalam bidang sejarah. Sumber berperanan untuk menentukan kebenaran dan kesahihan sesuatu fakta. Sebenarnya, sumber sejarah mempunyai maksud yang sangat luas dan harus diselidik dengan jelas dan tepat. Hal ini adalah kerana sumber sejarah tidak boleh direka oleh sendiri dengan sesuka hati, malah ahli-ahli sejarah mestilah mempunyai bukti yang kukuh dan benar supaya dapat menghasilkan fakta yang tepat.
            Sumber mengandungi maklumat ataupun bukti yang tulen ataupun maklumat yang bersifat asli tentang sesuatu fakta, kejadian ataupun hal-hal tertentu yang berkaitan dengan sesuatu peristiwa sejarah. Terdapat ahli-ahli sejarah yang memberikan maksud yang berbeza tentang sumber sejarah.
            Mengikut Profesor Carr, sumber sejarah boleh terdiri daripada sekumpulan fakta yang telah diteliti dan dipastikan. Beliau telah menyatakan bahawa sumber sejarah adalah mengandungi fakta yang telah dikenalpasti dan ditafsirkan. Menurut Profesor Collingwood pula menyatakan sumber sejarah adalah teks yang mempunyai kenyataan mengenai sesuatu peristiwa sejarah. Oleh itu, sumber sejarah harus ditafsir mengikut kehendak ahli-ahi sejarah bagi menghasilkan penulisan sejarah yang tepat. Lous Gottschalk pula menyatakan sumber sejarah adalah sebagai bahan bukti dalam bentuk tulisan, catatan dan saksi utama kepada peristiwa sejarah yang berlaku. Beliau menerangkan sumber sejarah merupakan bahan bukti dalam bentuk tulisan, catatan dan saksi utama terhadap perkara sejarah yang berlaku. Bagi Neibuhr pula sumber sejarah adalah merupakan perkara atau peristiwa yang telah berlaku pada masa lampau. Beliau telah menjelaskan bahawa sumber sejarah adalah peristiwa sejarah yang telah berlaku pada zaman dahulu lagi.
            Secara ringkasnya, sumber sejarah ialah kumpulan bahan-bahan sejarah yang hasil daripada kejadian ataupun peristiwa lampau. Sumber sejarah tersebut merupakan bahan-bahan yang tersimpan di arkib negara, arkib cawangan negeri, muzium, perpustakaan ataupun koleksi orang perseorangan. Di samping itu, sumber dianggap sebagai satu dokumen bukan sahaja bahan-bahan bertulis bahkan juga kesan peninggalan lama seperti gambar, batu ataupun senjata.
            Ahli-ahli sejarah akan bergantung kepada sumber sejarah yang berbentuk arkeologi, numismatik dan epoigrafi bagi mereka yang mengkaji peristiwa sejarah pada masa lampau. Kesemua bahan tersebut dijumpai di tapak-tapak arkeologi. Bukan itu sahaja, ahli-ahli sejarah juga bergantung kepada tinggalan manusia dan aktiviti pengeluaran manusia. Sumber tersebut telah memberi pengetahuan tentang tamadun manusia. Masyarakat awal yang mewarisi alatan dan teknologi telah diwujudkan oleh ahli-ahli sejarah apabila penemuan tinggalan pada zaman prasejarah seperti Zaman Paleolitik, Zaman Mesolitik, Zaman Neolitik dan Zaman Logam.

            Tambahan lagi, sumber sejarah memberi pengetahuan tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku. Sebagai misalan, rangka manusia yang dikenali sebagai ‘Manusia Perak’ (Perak Man) telah ditemui oleh Profesor Datuk Dr.Zurina Majid di Gua Gunung Runtuh, Lenggong, Perak, Malaysia. Penemuan tersebut telah memberikan tafsiran baharu terhadap kewujudan manusia awal. Namun, ahli-ahli sejarah lain bergantung kepada sumber sejarah bagi membuktikan kejadian sesuatu peristiwa sejarah. Dalam pengertian yang lain, sumber sejarah merupakan bahan yang menyediakan bukti yang tertentu untuk ahi-ahli sejarah mengemukakan satu rumusan dan tafsiran yang baik.

Sumber Sejarah

Sumber Sejarah
Jenis-jenis Sumber

            Jenis sumber sejarah telah dibahagikan kepada beberapa jenis seperti sumber primer, sumber sekunder, sumber arkeologi dan sumber lisan.

Sumber Primer

            Sumber primer merupakan sumber pertama, sumber utama, sumber awalan ataupun sumber sezaman. Sumber primer boleh dapat dalam bentuk catatan, rekod-rekod kerajaan, fail-fail rasmi, surat-menyurat, tulisan dan saksi utama kepada peristiwa ataupun kejadian yang berlaku pada zaman lampau. Melalui sumber primer, ahli-ahli sejarah dapat memahami dengan lebih teliti dan mendalam tentang peristiwa ataupun perkara sejarah yang telah berlaku.
            Seterusnya, ahli-ahli sejarah akan menggunakan sumber primer bagi membuat tafsiran yang berfaedah, berguna dan berisi terhadap perkara yang telah berlaku. Sumber primer adalah sumber yang tidak boleh diubahsuai oleh sendiri dengan sesuka hati dan perlu dalam keadaan yang asli supaya ahli-ahli sejarah dapat menghasilkan fakta yang benar dan tidak dikelirukan.






Sumber Sekunder

            Sumber sekunder dikenali sebagai sumber kedua, sumber pendua ataupun sumber bukan sezaman. Sumber sekunder adalah sumber sejarah yang telah dianalisis, ditafsir dan dinilai oleh ahli-ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah juga akan bergantung kepada penggunaan sumber primer untuk menghasilkan tafsiran, andaian dan penilaian tentang peristiwa yang hendak dikaji. Penulisan sejarah yang dihasilkan adalah berdasarkan penggunaan sumber primer dan akhirnya menjadi sumber sekunder.
            Secara jelasnya, sumber sekunder adalah hasil penyelidikan bergantung kepada penggunaan sumber primer yang dapat dihasilkan dalam bentuk rencana, buku sejarah, jurnal sejarah dan tesis.






Sumber Arkeologi

            Sumber arkeologi merupakan bukti tinggalan aktiviti yang dilaksanakan oleh manusia dan masyarakat lampau. Antaranya ialah tinggalan sisa-sisa makanan, tembikar, senjata dan alat batu yang diperbuat daripada besi. Bukti tinggalan arkeologi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu, artifak dan bukan artifak.
            Bahan artifak bermaksud bahan yang diperbuat oleh manusia lampau dalam bentuk pelbagai objek seperti alat batu, senjata-senjata besi dan tembikar. Bahan bukan artifak dipanggil sebagai ekofak. Ekofak adalah tinggalan tulang binatang, tinggalan kulit siput, tumbuh-tumbuhan, tanah, mendapan,  dan sisa-sisa tulang seperti flora dan fauna. Bahan bukan artifak menunjukkan kegiatan manusia yang dilakukan pada zaman lampau dan kawasan persekitaran yang wujud dalam kehidupan mereka.







Sumber Lisan

            Sumber lisan merupakan satu kaedah dalam pengumpulan fakta dan data sejarah yang masih lagi belum ditafsir, dikaji dan dirakam semula oleh ahli-ahli sejarah. Sumber lisan adalah salah satu proses untuk mengumpulkan data dan fakta sejarah yang telah hilang tradisi penulisan sejarah. Sumber lisan adalah melalui temu ramah saksi-saksi yang masih hidup dan direkodkan oleh ahli-ahli sejarah berdasarkan proses   rakamanyang telah dibuat. Temu ramah tersebut adalah bergantung kepada ingatan, gambaran, diari ataupun surat-menyurat.
            Saksi dalam sumber lisan merupakan orang yang begitu afdal kerana saksi-saksi tersebut akan menceritakan kejadian peristiwa yang telah berlaku kepada ahli-ahli sejarah. Oleh itu, saksi-saksi tersebut akan menceritakan kejadian peristiwa berasaskan kepada kertas,ingatan seseorang, gambar dan diari.


Konsep Sumber Sejarah

            Sumber sejarah terdiri kepada berbagai-bagai bentuk dan mempunyai sifat yang tersendiri. Sumber sejarah memberikan maklumat yang berbeza-beza. Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh faktor masa sumber itu dihasilkan, jenis peristiwa yang berlaku dan tempat peristiwa itu berlaku.
Tugas seseorang ahli sejarah amat penting kerana mereka harus memiliki ilmu pengetahuan tentang sumber sejarah yang sedia ada sebelum melasanakan sesuatu penyelidikan sejarah. Ahli-ahli sejarah berperanan dalam mengkaji sumber sejarah yang sedia maklum untuk mendapatkan bukti-bukti tertentu supaya dapat menghasilkan kajian dan interprestasi bagi sesuatu peristiwa kejadian sejarah. Jadi, ahli-ahli sejarah hendak memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan dan kesangsian semasa merujuk dan mengkaji sesuatu sumber sejarah. Konsep sumber sejarah boleh dibahagikan kepada dua bentuk dalam bidang sejarah termasuklah sumber bertulis dan sumber bukan bertulis dan juga artifak dan bukan artifak.

Sumber Bertulis

            Sistem bertulis sudah diwujudkan semasa manusia dan masyarakat mencapai tahap ketamadunan. Disebabkan kewujudan sistem bertulis telah menyebabkan manusia dan masyarakat mula merakamkan sesuatu peristiwa ataupun kejadian dalam bentuk tulisan dan catatan. Oleh itu, sumber bertulis bolehlah dalam bentuk manuskrip, dokumen dan tulisan tangan.

Sumber Bukan Bertulis

            Terdapat segolongan yang tidak menarik perhatian yang berat terhadap sistem tulisan dalam kehidupan manusia dan masyarakat. Manusia dan masyarakat adalah bergantung kepada sistem komunikasi. Kewujudan sistem lisan adalah disebabkan oleh sistem komunikasi. Sumber lisan adalah diwarisi secara turun temurun oleh generasi tertentu. Walau bagaimanapun, sumber lisan tersebut memiliki had yang tertentu apabila ahli-ahli sejarah melaksanakan penyelidikan sejarah.
Sumber lisan bergantung kepada ingatan saksi yang ditemu ramah oleh ahli-ahli sejarah. Oleh itu, saksi tersebut perlu mengingati semua peristiwa ataupun kejadian sejarah tentang peristiwa ataupun perkara yang telah berlaku kepada ahli-ahli sejarah. 

Artifak

            Sumber sejarah dalam bentuk artifak seperti tulang, besi, batu ataupun tembikar. Penemuan tersebut dapat menolong ahli-ahli sejarah untuk mengetahui sejarah pembentukan sesuatu masyarakat yang hidup pada masa lampau.
            Ahli-ahli sejarah akan bergantung kepada penemuan logam, serpihan tembikar, manik ataupun porselin untuk memahami sejarah pembentukan sesuatu masyarakat proto sejarah. Kerja-kerja penemuan artifak ini mengambil masa yang agak panjang dan bergantung kepada kebolehan seorang ahli arkeologi untuk mengesan lokasi dan sesebuah tempat secara benar. Bagi masyarakat yang hidup pada zaman prasejarah, penemuan sumber sejarah yang berbentuk tulang,batu dan serpihan tembikar lebih banyak ditumpukan pada zaman tersebut. Manakala, masyarakat yang hidup pada zaman proyosejrah pula, mereka lebih banyak tertumpu kepada penemuan yang berbentuk porselin, logam dan manik.

Bukan Artifak



            Penemuan bahan-bahan makanan yang digunakan oleh masyarakat yang hidup pada zaman lampau adalah berdasarkan penggunaan sumber bukan artifak. Antara bahan-bahan makanan yang dijumpai dan diguna pakai oleh ahli-ahli sejarah ialah tulang-tulang binatang, bahan-bahan organik dan sisa-sisa makanan.

Tuesday, September 16, 2014

Ciri-ciri Sumber Sejarah

Ciri-ciri Sumber Sejarah

            Ahli-ahli sejarah akan mendapatkan bukti dan membuat kajian yang berguna melalui sumber sejarah. Sumber yang wujud memiliki ciri-ciri yang tertentu dari segi kandungan maklumat dalam sumber tersebut, masa sumber itu dihasilkan dan keadaan fizikal sumber tersebut. 
Ahli-ahli sejarah perlu mengenal pasti ciri-ciri yang terdapat dalam sesuatu sumber tersebut dengan menggunakan sumber sejarah dalam kajian mereka untuk menghasilkan kajian yang bekualiti. Tujuan utamanya adalah ahli-ahli sejarah harus memahami ciri-ciri sumber tersebut untuk memastikan sunber sejarah yang digunakan adalah sumber yang asli, benar, tulen dan tidak mempunyai ciri-ciri kepalsuan.
Terdapat empat jenis ciri yang harus dikenal pasti dan diteliti oleh ahli-ahli sejarah apabila menggunakan sesuatu sumber dalam kajian mereka. Empat ciri-ciri tersebut ialah sumber itu mempunyai kandungan yang asli, sumber tersebut adalah bahan mentah yang masih belum diproses ataupun sudah diproses, sumber tersebut mudah diperoleh ataupun susah diperoleh dan keadaan fizikal sumber tersebut.

Keaslian Kandungan Sumber

           Ahli-ahli sejarah harus sentiasa menentukan sumber sejarah yang digunakan dalam kajian sejarah adalah berada dalam kandungan yang original. Ahli-ahli sejarah hendak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam memastikan sesuatu sumber tersebut berada dalam keadaan asli ataupun tidak berada dalam keadaan asli. Ahli-ahli sejarah dapat mencari fakta dan data yang akan menjadi sebagai bahan bukti berdasarkan sumber asli. Melalui fakta tersebut, ahli-ahli sejarah dapat membuat penyelidikan yang berguna. Sumber asli berperanan dalam memberi peluang kepada ahli-ahli sejarah untuk mencari fakta-fakta bagi menjawab persoalan yang diperdebatkan dalam kalangan ahli-ahli sejarah.
            Ahli-ahli sejarah dapat mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan bahan bukti yang jelas dan teliti melalui sumber asli. Sumber asli mampu memberikan bukti-bukti yang teguh dan boleh diyakini dan juga dalam keadaan kemutlakan.

Sumber Sebagai Bahan Mentah

            Ahli-ahli sejarah harus mempunyai kemahiran yang tinggi untuk menentukan sumber sejarah yang dirujuknya adalah bahan mentah yang baru dalam mendapatkan kakta dan bukti. Selain itu, ahli-ahli sejarah juga hendak menentukan sumber tersebut tidak mengalami sebarang perubahan dari sudut fizikalnya.
Dokumen merupakan sumber bahan mentah yang baru. Antara sumber yang berada dalam kategori dokumen ialah fail-fail minit mesyuarat, surat-surat rasmi, surat-surat persendirian yang berada dalam keadaan original dan tidak mengalami sebarang pindaan dalam dokumen-dokumen tersebut.
Setelah menentukan sumber tersebut adalah bahan mentah yang baru maka tugas ahli-ahli sejarah ialah mereka hendak membuat kajian terhadap sumber-sumber sejarah. Tafsiran terhadap sumber sejarah tersebut akn membolehkan ahli-ahli sejarah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Bukti-bukti yang kukuh tidak akan memberikan sebarang peluang kepada mana-mana pihak untuk mempertikaikan tafsiran dan penulisan sejarah.

Perolehan Sumber

            Sumber sejarah hanya boleh didapati atau dirujuk di tempat-tempat tertentu sahaja. Ahli-ahli sejarah akan mengalami kesulitan untuk mendapatkan sumber primer kerana sumber tersebut sukar diperoleh. Ahli-ahli sejarah perlu membuat penyelidikan dan pencarian untuk mendapatkan sumber primer. Lokasi yang menjadi tumpuan ahli-ahli sejarah ialah arkib negara, arkib cawangan negeri, perpustakaan negara ataupun mengkunjungi arkib yang berada di luar negara. Kebolehan ahli-ahli sejarah untuk mengakses sumber primer berdasarkan rujukan terbuka ataupun rujukan tertutup.
            Rujukan terbuka bermakna ahli-ahli sejarah boleh mengakses sumber primer pada bila-bila masa dan tiada sekatan . Rujukan tertutup pula bererti ahli-ahli sejarah tidak diberi kebenaran untuk mengakses sumber primer tersebut.
    Tambahan lagi, umur sumber primer juga diambil kira sebelum dibuka untuk bahan rujukan kepada ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah hanya boleh mengakses sumber-sumber rasmi selepas sumber sejarah tersebut mencapai usia 25 tahun ke atas. Walau bagaimanapun ahli-ahli sejarah boleh membuat permohonan untuk mengakses sumber primer jika tertutup ataupun belum mencapai usia kematangan.
     Bagi ahli-ahli sejarah yang bergantung kepada sumber primer arkeologi contohnya, artifak maka ahli-ahli arkeologi harus membuat penyelidikan tentang tempat untuk mendapatkan sumber arkeologi. Ahli-ahli sejarah hendak menjalankan proses ekskavasi pada kawasan yang dikenali sebagai tapak tinggalan prasejarah ataupun proto sejarah.


Keadaan Fizikal Sesuatu Sumber

      Ahli-ahli sejarah harus menentukan keadaan fizikal yang sebenar. Sumber sejarah tersebut perlu diteliti oleh ahli-ahli sejarah supaya tidak menghadapi sebarang perubahan fizikal dan sifat. Lazimnya, ahli-ahli sejarah hanya akan merujuk sumber sejarah dalam keadaan fizikal yang asal. Sebaliknya sumber sejarah yang menghadapi perubahan fizikal akan diketepikan oleh ahli-ahli sejarah.
      Sumber sejarah yang masih dalam keadaan fizikal sebenar mampu memberikan tafsiran yang baru dan memaparkan penemuan fakta-fakta yang baru. Sebenarnya, sumber sejarah yang telah mengalami sebarang perubahan fizikal kurang memberikan fakta-fakta baru kepada ahli-ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah akan menggunakan sumber tersebut untuk mendapatkan fakta tambahan ataupun fakta sokongan terhadap persoalan penyelidikan.

Kesimpulan
            Konklusinya, ahli-ahli sejarah perlulah menjalankan tafsiran dan kajian pada setiap peristiwa dan kejadian sejarah yang telah berlaku pada masa lampau. Pada pendapat saya, sumber primer merupakan sumber yang paling baik untuk menghasilkan sesuatu fakta yang tepat dan jelas. Hal ini adalah kerana sumber primer merupakan sumber yang asli dan tidak pernah diubah suai oleh sesiapa pun. Dengan ini, saya dapat lebih memahami dan mengetahui tentang sumber sejarah yang dikaji secara mendalam dan teliti.