Tuesday, September 16, 2014

Ciri-ciri Sumber Sejarah

Ciri-ciri Sumber Sejarah

            Ahli-ahli sejarah akan mendapatkan bukti dan membuat kajian yang berguna melalui sumber sejarah. Sumber yang wujud memiliki ciri-ciri yang tertentu dari segi kandungan maklumat dalam sumber tersebut, masa sumber itu dihasilkan dan keadaan fizikal sumber tersebut. 
Ahli-ahli sejarah perlu mengenal pasti ciri-ciri yang terdapat dalam sesuatu sumber tersebut dengan menggunakan sumber sejarah dalam kajian mereka untuk menghasilkan kajian yang bekualiti. Tujuan utamanya adalah ahli-ahli sejarah harus memahami ciri-ciri sumber tersebut untuk memastikan sunber sejarah yang digunakan adalah sumber yang asli, benar, tulen dan tidak mempunyai ciri-ciri kepalsuan.
Terdapat empat jenis ciri yang harus dikenal pasti dan diteliti oleh ahli-ahli sejarah apabila menggunakan sesuatu sumber dalam kajian mereka. Empat ciri-ciri tersebut ialah sumber itu mempunyai kandungan yang asli, sumber tersebut adalah bahan mentah yang masih belum diproses ataupun sudah diproses, sumber tersebut mudah diperoleh ataupun susah diperoleh dan keadaan fizikal sumber tersebut.

Keaslian Kandungan Sumber

           Ahli-ahli sejarah harus sentiasa menentukan sumber sejarah yang digunakan dalam kajian sejarah adalah berada dalam kandungan yang original. Ahli-ahli sejarah hendak mempunyai kemahiran yang tinggi dalam memastikan sesuatu sumber tersebut berada dalam keadaan asli ataupun tidak berada dalam keadaan asli. Ahli-ahli sejarah dapat mencari fakta dan data yang akan menjadi sebagai bahan bukti berdasarkan sumber asli. Melalui fakta tersebut, ahli-ahli sejarah dapat membuat penyelidikan yang berguna. Sumber asli berperanan dalam memberi peluang kepada ahli-ahli sejarah untuk mencari fakta-fakta bagi menjawab persoalan yang diperdebatkan dalam kalangan ahli-ahli sejarah.
            Ahli-ahli sejarah dapat mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan bahan bukti yang jelas dan teliti melalui sumber asli. Sumber asli mampu memberikan bukti-bukti yang teguh dan boleh diyakini dan juga dalam keadaan kemutlakan.

Sumber Sebagai Bahan Mentah

            Ahli-ahli sejarah harus mempunyai kemahiran yang tinggi untuk menentukan sumber sejarah yang dirujuknya adalah bahan mentah yang baru dalam mendapatkan kakta dan bukti. Selain itu, ahli-ahli sejarah juga hendak menentukan sumber tersebut tidak mengalami sebarang perubahan dari sudut fizikalnya.
Dokumen merupakan sumber bahan mentah yang baru. Antara sumber yang berada dalam kategori dokumen ialah fail-fail minit mesyuarat, surat-surat rasmi, surat-surat persendirian yang berada dalam keadaan original dan tidak mengalami sebarang pindaan dalam dokumen-dokumen tersebut.
Setelah menentukan sumber tersebut adalah bahan mentah yang baru maka tugas ahli-ahli sejarah ialah mereka hendak membuat kajian terhadap sumber-sumber sejarah. Tafsiran terhadap sumber sejarah tersebut akn membolehkan ahli-ahli sejarah mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Bukti-bukti yang kukuh tidak akan memberikan sebarang peluang kepada mana-mana pihak untuk mempertikaikan tafsiran dan penulisan sejarah.

Perolehan Sumber

            Sumber sejarah hanya boleh didapati atau dirujuk di tempat-tempat tertentu sahaja. Ahli-ahli sejarah akan mengalami kesulitan untuk mendapatkan sumber primer kerana sumber tersebut sukar diperoleh. Ahli-ahli sejarah perlu membuat penyelidikan dan pencarian untuk mendapatkan sumber primer. Lokasi yang menjadi tumpuan ahli-ahli sejarah ialah arkib negara, arkib cawangan negeri, perpustakaan negara ataupun mengkunjungi arkib yang berada di luar negara. Kebolehan ahli-ahli sejarah untuk mengakses sumber primer berdasarkan rujukan terbuka ataupun rujukan tertutup.
            Rujukan terbuka bermakna ahli-ahli sejarah boleh mengakses sumber primer pada bila-bila masa dan tiada sekatan . Rujukan tertutup pula bererti ahli-ahli sejarah tidak diberi kebenaran untuk mengakses sumber primer tersebut.
    Tambahan lagi, umur sumber primer juga diambil kira sebelum dibuka untuk bahan rujukan kepada ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah hanya boleh mengakses sumber-sumber rasmi selepas sumber sejarah tersebut mencapai usia 25 tahun ke atas. Walau bagaimanapun ahli-ahli sejarah boleh membuat permohonan untuk mengakses sumber primer jika tertutup ataupun belum mencapai usia kematangan.
     Bagi ahli-ahli sejarah yang bergantung kepada sumber primer arkeologi contohnya, artifak maka ahli-ahli arkeologi harus membuat penyelidikan tentang tempat untuk mendapatkan sumber arkeologi. Ahli-ahli sejarah hendak menjalankan proses ekskavasi pada kawasan yang dikenali sebagai tapak tinggalan prasejarah ataupun proto sejarah.


Keadaan Fizikal Sesuatu Sumber

      Ahli-ahli sejarah harus menentukan keadaan fizikal yang sebenar. Sumber sejarah tersebut perlu diteliti oleh ahli-ahli sejarah supaya tidak menghadapi sebarang perubahan fizikal dan sifat. Lazimnya, ahli-ahli sejarah hanya akan merujuk sumber sejarah dalam keadaan fizikal yang asal. Sebaliknya sumber sejarah yang menghadapi perubahan fizikal akan diketepikan oleh ahli-ahli sejarah.
      Sumber sejarah yang masih dalam keadaan fizikal sebenar mampu memberikan tafsiran yang baru dan memaparkan penemuan fakta-fakta yang baru. Sebenarnya, sumber sejarah yang telah mengalami sebarang perubahan fizikal kurang memberikan fakta-fakta baru kepada ahli-ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah akan menggunakan sumber tersebut untuk mendapatkan fakta tambahan ataupun fakta sokongan terhadap persoalan penyelidikan.

Kesimpulan
            Konklusinya, ahli-ahli sejarah perlulah menjalankan tafsiran dan kajian pada setiap peristiwa dan kejadian sejarah yang telah berlaku pada masa lampau. Pada pendapat saya, sumber primer merupakan sumber yang paling baik untuk menghasilkan sesuatu fakta yang tepat dan jelas. Hal ini adalah kerana sumber primer merupakan sumber yang asli dan tidak pernah diubah suai oleh sesiapa pun. Dengan ini, saya dapat lebih memahami dan mengetahui tentang sumber sejarah yang dikaji secara mendalam dan teliti.

No comments:

Post a Comment