Monday, September 22, 2014

Sumber Sejarah

Sumber Sejarah
Jenis-jenis Sumber

            Jenis sumber sejarah telah dibahagikan kepada beberapa jenis seperti sumber primer, sumber sekunder, sumber arkeologi dan sumber lisan.

Sumber Primer

            Sumber primer merupakan sumber pertama, sumber utama, sumber awalan ataupun sumber sezaman. Sumber primer boleh dapat dalam bentuk catatan, rekod-rekod kerajaan, fail-fail rasmi, surat-menyurat, tulisan dan saksi utama kepada peristiwa ataupun kejadian yang berlaku pada zaman lampau. Melalui sumber primer, ahli-ahli sejarah dapat memahami dengan lebih teliti dan mendalam tentang peristiwa ataupun perkara sejarah yang telah berlaku.
            Seterusnya, ahli-ahli sejarah akan menggunakan sumber primer bagi membuat tafsiran yang berfaedah, berguna dan berisi terhadap perkara yang telah berlaku. Sumber primer adalah sumber yang tidak boleh diubahsuai oleh sendiri dengan sesuka hati dan perlu dalam keadaan yang asli supaya ahli-ahli sejarah dapat menghasilkan fakta yang benar dan tidak dikelirukan.






Sumber Sekunder

            Sumber sekunder dikenali sebagai sumber kedua, sumber pendua ataupun sumber bukan sezaman. Sumber sekunder adalah sumber sejarah yang telah dianalisis, ditafsir dan dinilai oleh ahli-ahli sejarah. Ahli-ahli sejarah juga akan bergantung kepada penggunaan sumber primer untuk menghasilkan tafsiran, andaian dan penilaian tentang peristiwa yang hendak dikaji. Penulisan sejarah yang dihasilkan adalah berdasarkan penggunaan sumber primer dan akhirnya menjadi sumber sekunder.
            Secara jelasnya, sumber sekunder adalah hasil penyelidikan bergantung kepada penggunaan sumber primer yang dapat dihasilkan dalam bentuk rencana, buku sejarah, jurnal sejarah dan tesis.






Sumber Arkeologi

            Sumber arkeologi merupakan bukti tinggalan aktiviti yang dilaksanakan oleh manusia dan masyarakat lampau. Antaranya ialah tinggalan sisa-sisa makanan, tembikar, senjata dan alat batu yang diperbuat daripada besi. Bukti tinggalan arkeologi boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu, artifak dan bukan artifak.
            Bahan artifak bermaksud bahan yang diperbuat oleh manusia lampau dalam bentuk pelbagai objek seperti alat batu, senjata-senjata besi dan tembikar. Bahan bukan artifak dipanggil sebagai ekofak. Ekofak adalah tinggalan tulang binatang, tinggalan kulit siput, tumbuh-tumbuhan, tanah, mendapan,  dan sisa-sisa tulang seperti flora dan fauna. Bahan bukan artifak menunjukkan kegiatan manusia yang dilakukan pada zaman lampau dan kawasan persekitaran yang wujud dalam kehidupan mereka.







Sumber Lisan

            Sumber lisan merupakan satu kaedah dalam pengumpulan fakta dan data sejarah yang masih lagi belum ditafsir, dikaji dan dirakam semula oleh ahli-ahli sejarah. Sumber lisan adalah salah satu proses untuk mengumpulkan data dan fakta sejarah yang telah hilang tradisi penulisan sejarah. Sumber lisan adalah melalui temu ramah saksi-saksi yang masih hidup dan direkodkan oleh ahli-ahli sejarah berdasarkan proses   rakamanyang telah dibuat. Temu ramah tersebut adalah bergantung kepada ingatan, gambaran, diari ataupun surat-menyurat.
            Saksi dalam sumber lisan merupakan orang yang begitu afdal kerana saksi-saksi tersebut akan menceritakan kejadian peristiwa yang telah berlaku kepada ahli-ahli sejarah. Oleh itu, saksi-saksi tersebut akan menceritakan kejadian peristiwa berasaskan kepada kertas,ingatan seseorang, gambar dan diari.


Konsep Sumber Sejarah

            Sumber sejarah terdiri kepada berbagai-bagai bentuk dan mempunyai sifat yang tersendiri. Sumber sejarah memberikan maklumat yang berbeza-beza. Perkara tersebut berlaku disebabkan oleh faktor masa sumber itu dihasilkan, jenis peristiwa yang berlaku dan tempat peristiwa itu berlaku.
Tugas seseorang ahli sejarah amat penting kerana mereka harus memiliki ilmu pengetahuan tentang sumber sejarah yang sedia ada sebelum melasanakan sesuatu penyelidikan sejarah. Ahli-ahli sejarah berperanan dalam mengkaji sumber sejarah yang sedia maklum untuk mendapatkan bukti-bukti tertentu supaya dapat menghasilkan kajian dan interprestasi bagi sesuatu peristiwa kejadian sejarah. Jadi, ahli-ahli sejarah hendak memastikan tidak berlaku sebarang kesilapan dan kesangsian semasa merujuk dan mengkaji sesuatu sumber sejarah. Konsep sumber sejarah boleh dibahagikan kepada dua bentuk dalam bidang sejarah termasuklah sumber bertulis dan sumber bukan bertulis dan juga artifak dan bukan artifak.

Sumber Bertulis

            Sistem bertulis sudah diwujudkan semasa manusia dan masyarakat mencapai tahap ketamadunan. Disebabkan kewujudan sistem bertulis telah menyebabkan manusia dan masyarakat mula merakamkan sesuatu peristiwa ataupun kejadian dalam bentuk tulisan dan catatan. Oleh itu, sumber bertulis bolehlah dalam bentuk manuskrip, dokumen dan tulisan tangan.

Sumber Bukan Bertulis

            Terdapat segolongan yang tidak menarik perhatian yang berat terhadap sistem tulisan dalam kehidupan manusia dan masyarakat. Manusia dan masyarakat adalah bergantung kepada sistem komunikasi. Kewujudan sistem lisan adalah disebabkan oleh sistem komunikasi. Sumber lisan adalah diwarisi secara turun temurun oleh generasi tertentu. Walau bagaimanapun, sumber lisan tersebut memiliki had yang tertentu apabila ahli-ahli sejarah melaksanakan penyelidikan sejarah.
Sumber lisan bergantung kepada ingatan saksi yang ditemu ramah oleh ahli-ahli sejarah. Oleh itu, saksi tersebut perlu mengingati semua peristiwa ataupun kejadian sejarah tentang peristiwa ataupun perkara yang telah berlaku kepada ahli-ahli sejarah. 

Artifak

            Sumber sejarah dalam bentuk artifak seperti tulang, besi, batu ataupun tembikar. Penemuan tersebut dapat menolong ahli-ahli sejarah untuk mengetahui sejarah pembentukan sesuatu masyarakat yang hidup pada masa lampau.
            Ahli-ahli sejarah akan bergantung kepada penemuan logam, serpihan tembikar, manik ataupun porselin untuk memahami sejarah pembentukan sesuatu masyarakat proto sejarah. Kerja-kerja penemuan artifak ini mengambil masa yang agak panjang dan bergantung kepada kebolehan seorang ahli arkeologi untuk mengesan lokasi dan sesebuah tempat secara benar. Bagi masyarakat yang hidup pada zaman prasejarah, penemuan sumber sejarah yang berbentuk tulang,batu dan serpihan tembikar lebih banyak ditumpukan pada zaman tersebut. Manakala, masyarakat yang hidup pada zaman proyosejrah pula, mereka lebih banyak tertumpu kepada penemuan yang berbentuk porselin, logam dan manik.

Bukan Artifak



            Penemuan bahan-bahan makanan yang digunakan oleh masyarakat yang hidup pada zaman lampau adalah berdasarkan penggunaan sumber bukan artifak. Antara bahan-bahan makanan yang dijumpai dan diguna pakai oleh ahli-ahli sejarah ialah tulang-tulang binatang, bahan-bahan organik dan sisa-sisa makanan.

No comments:

Post a Comment